bulan 1

KITAB: FENOMENA BERLAMPAUAN DALAM PENGKAFIRAN / ZHOHIRATUL GHULU FI TAKFIR



OLEH: DR YUSOF AL-QARADHAWI

PEMBENTANG: HAKIMAH BINTI ZAKUWAN

MUQADDIMAH

Dalam kitab ini, Dr Yusof Qaradhawi menerangkan fenomena yang berlaku selepas zaman kebangkitan yang melanda Mesir sekitar 70-an. Beliau diasak dengan persoalan dari pelbagai lapisan masyarakat antaranya bekas banduan IM yang inginkan penjelasan mengenai keadaan masyarakat yang berpecah belah ketika itu. Perselisihan fikrah dan pegangan politik menyebabkan mereka sering bertelagah sehingga mereka tidak solat berjemaah bersama.

Kerajaan turut dilabel sebagai kafir atas sebab menolak dan menjadi dalang penghalang seruan ke arah perintah Allah. Golongan yang dikecam ini mengambil sesetengah nas secara zahir “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” Al-Ma’idah ayat 44. Mereka juga mengutip hadis yang berkaitan sehingga sampai suatu tahap mereka berkata: “Sesiapa yang tidak menerima fikrah ini yang mana telah disertai dengan dalil-dalil (yang sebenarnya telah dipilih dengan kaedah yang salah) adalah kafir. Sesiapa yang tidak mengkafirkan golongan kerajaan adalah kafir kerana syak di dalam mengkafirkan golongan kafir adalah kafir, sama seperti syak ketika mengkafirkan golongan Musyrikin, Yahudi, Nasrani dan Majusi.”

Syeikh Hasan al-Hudhaibi R.A.H yang merupakan salah seorang pemimpin IM ketika itu apabila mengetahui perkara ini ketika beliau di dalam penjara, beliau terus menolak fikrah ini dengan berkata : “Kita adalah pendakwah bukannya qodhi (hakim)” kerana 2 perkara tersebut sangatlah berbeza bidang kerjanya.

1) FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA FENOMENA INI

Dr Yusof Qaradhawi telah menyenaraikan sebab-sebab yang menyumbang ke arah masalah ini:

1) Penyebaran fahaman salah mengenai Islam dengan menggunakan pelbagai kemudahan media.
2) Sikap sambil lewa dan ambil mudah oleh sesetengah Ulama’ dalam mengatasi golongan ini.
3) Penekanan yang hebat diberikan kepada pendakwah bebas yang membawa fikrah Islamiah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
4) Ketandusan golongan pemuda yang mahir dalam ilmu Fiqh Islami dan Usulnya serta ketiadaan keinginan yang kuat untuk mendalami ilmu Islamiah dan ilmu bahasa atau lughawiyah.

Maka kelemahan ini menjadikan mereka berpegang dengan sesuatu fikrah secara membuta tuli tanpa mempunyai kefahaman yang tepat mengenainya. Imam Hasan al-Basri berkata: “Seseorang yang beramal tanpa ilmu ibarat seorang yang berjalan tanpa arah. Seseorang yang beramal tanpa ilmu lebih banyak memusnahkan daripada mengislahkan, maka tuntutlah perkara ilmu tanpa memudharatkan perkara Ibadat dan tuntutlah perkara Ibadat tanpa memudharatkan perkara Ilmu…”

2)GOLONGAN YANG SEPATUTNYA DIKAFIRKAN:

Mereka adalah yang terang-terangan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam iaitu:

1) Golongan Komunis yang membawa ideologi komunisme yang bertunjangkan falsafah dan undang-undang kehidupan yang jelas bertentangan dengan ‘aqidah Islamiyah dan pensyari’atannya serta nilai-nilainya. Mereka menganggap golongan yang mempunyai agama adalah racun masyarakat secara umumnya, namun secara khususnya mereka menyifatkan agama Islam sebagai agama yang membawa permusuhan dan kebencian.

2) Golongan Sekular dan juga ahli parti politik yang berfahaman sekular yang secara berterangan menolak syari’at Islam kerana mereka berpendapat bahawa sesebuah negara harus dipisahkan dari agama.
3) Golongan agama sesat atau digelar sebagai Ashab an-Nihal yang ajarannya secara terang-terangan jelas tersasar daripada ajaran agama Islam yang sebenar seperti al-Duruz, an-Nashiriyah, al-Isma’iliyah dan lain-lain.

Imam Ghazali menyifatkan mereka sebagai : Golongan yang secara zahirnya menentang atau menolak tetapi secara batiniahnya mereka kafir secara mutlak. Ibnu Taimiyah pula menyebut; Mereka ini lebih kafir daripada golongan Yahudi dan Nasrani. Contoh-contoh di zaman kita adalah seperti aliran Bahaisme yang merupakan agama baru yang dicipta dan hampir menyerupai al-Qodiyaniyah yang muncul dengan ideologi kenabian selepas kenabian Muhammad S.A.W yang merupakan penamat para nabi. Jika di Malaysia, ‘agama Ayah Pin’ turut tergolong dalam kelompok ini.

3)KEWAJIBAN MEBEZAKAN ANTARA UMUM ATAU JENIS DAN INDIVIDU YANG TERTENTU:

Kita harus memberikan perhatian yang serius seperti mana yang dipesan oleh para Ulama’ apabila membicarakan mengenai kafir dari sudut secara umum (nau’iyah) atau individu (syaksiah) kerana terdapat perbezaan yang besar antara dua perkara tersebut.

Apabila kita mengatakan golongan Komunis adalah kafir atau pemimpin-pemimpin berfahaman sekular yang menolak Islam adalah kafir atau sesiapa yang mengatakan sedemikian rupa dan menyeru kepada sedemikian perkara adalah kafir, maka ini dinamakan sebagai hukuman yang diletakkan secara umum.

Namun apabila kita mengaitkan perkara-perkara seperti tadi (iaitu kafir) kepada seseorang individu atau peribadi yang tertentu maka kita wajib berhenti sebentar untuk meyelidik dan memastikan tohmahan tersebut samada benar atau tidak dengan menyoal individu tersebut dan berbincang dengannya, sehinggalah kita mendapat hujah yang kuat tanpa sebarang keraguan.

Dalam perkara ini Ibnu Taimiyah telah memberikan contoh seperti nas-nas yang berbentuk ancaman, antaranya “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” Surah an-Nisa’ ayat 10.

Sesungguhnya nas berbentuk ancaman ini adalah benar, tetapi seseorang individu yang melakukannya tidak boleh digelar sebagai penerima ancaman tersebut atau orang yang pasti akan menjadi ahli neraka. Kerana boleh jadi ada syarat-syarat yang hilang atau tidak cukup atau ada penghalang dalam perbuatan yang dilakukannya. Mungkin hamba Allah tersebut akan bertaubat dan melakukan amal kebajikan sehingga menyebabkannya terlepas daripada menerima hukuman.

Imam-Imam dalam banyak mazhab telah berpegang dengan kaedah yang terperinci ini untuk membezakan antara umum atau jenis dan individu yang tertentu. Dapat kita lihat di sini, semua kaedah yang terperinci ini harus dilalui dalam menetapkan hukum kafir, oleh itu, bagaimana mungkin seseorang muslim menghukum muslim lain yang telah bertasyhid dengan kalimah ‘LA ILA HA ILLALLAH WA ANNA MUHAMMAD RASULULLAH’ sebagai kafir?

4) BAHAYA PENGKAFIRAN

Apabila fenomena ini melanda masyarakat, maka ia memberikan impak yang sangat besar kepada individu yang telah dituduh sebagai kafir tersebut. Bahaya tersebut adalah:

1) Tidak boleh bersama dengan isterinya. Mereka wajib berpisah kerana seorang muslimah tidak boleh menjadi isteri kepada seorang kafir.

2) Anak-anaknya tidak boleh tinggal bersamanya kerana dikhuatiri akan terpengaruh dengan kekafirannya.
3) Hilang hak untuk tinggal dan pertolongan dari masyarakat Islam.
4) Wajib dibicarakan oleh Hakim Islami atau Syar’ie untuk memastikan bahawa dia benar-benar telah murtad.
5) Jika mati, hak-haknya selepas mati tidak boleh ditunaikan seperti orang Islam, maka mayatnya tidak boleh dimandikan dan disembahyangkan serta dikebumikan secara Islam. Harta-hartanya juga tidak boleh dibahagikan secara ahkam mirath.

6) Akan mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah S.W.T serta dilemparkan dari rahmat-Nya. Maka dia akan kekal di dalam neraka jahannam selama-lamanya.

5) KEWAJIBAN KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Betapa pentingnya kita kembali berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menghalang kepincangan ini daripada terus membarah dan menimbulkan lebih banyak masalah. Masalah ini boleh dihindari dengan memahami kaedah-kaedah tertentu yang akan diterangkan selepas ini. Jika kita berpegang kepada pendapat sesetengah Ulama’ maka kita harus mengetahui nas-nas yang digunakan agar tidak berpegang sesuatu perkara secara membuta tuli.

KAEDAH-KAEDAH TERSEBUT ADALAH:

I) DENGAN APAKAH SESEORANG ITU MEMASUKI ISLAM?

Kaedah Pertama: Seseorang itu memasuki Islam dengan dua kalimah syahadah iaitu:

شهادة أن لا إله إلا الله و أن محمدا رسول الله

Sesiapa yang berikrar kalimat di atas dengan lidahnya maka dia telah dikira memeluk agama Islam, dan diwajibkan ke atasnya semua hukum Islam. Namun jika seseorang itu kafir dengan hatinya, maka kita harus menyerahkan perihal batiniah itu kepada Allah S.W.T kerana kita hanya mampu melihat zahir seseorang itu sahaja.

Dalil: Daripada Abi Hurairah R.A.H: Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka berkata : La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan Melainkan Allah), jika mereka mengatakan demikian maka terselamatlah darah dan harta mereka daripadaku kecuali dengan sebab syara’, dan segala perhitungan mereka terserah pada Allah.” – Hadis Muttafaqun ‘alaih

II) SESIAPA YANG MATI DALAM TAUHID MAKA SELAYAKNYA SYURGA BAGINYA:

Kaedah Kedua: Sesiapa yang mati dalam tauhid –iaitu dalam: Lailaha illallah, maka dia mendapat dua hak ini iaitu:

1) Terlepas daripada dikekalkan dalam neraka.

2) Dimasukkan dalam syurga.

Dalil : Daripada Anas R.A.H: Rasulullah S.A.W bersabda: “Akan dikeluarkan daripada neraka sesiapa yang mengucapkan La Ilaha Illallah, dan di dalam hatinya terdapat kebaikan yang (apabila) ditimbang (hanya) sebesar biji yang halus (iaitu biji gandum).” – Hadis Muttafaqun ‘alaih

III) PEMBATALAN ISLAM

Kaedah Ketiga: Apabila seseorang telah Islam, maka dia diwajibkan mematuhi hukum-hukum Islam yang jelas berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Penting untuk diingatkan di sini, hukum-hukum ini adalah hukum syar’ie yang telah qoth’i atau diyakini, yang tiada keraguan padanya seperti kewajipan solat, zakat, pengharaman bunuh, zina, riba, arak dan lain-lain dosa besar, serta hukum-hukum yang telah ditetapkan dalam perkahwinan, talak, mirath, jenayah, qisas dan sebagainya. Sesiapa yang ingkar, meringankan atau mempersenda hukum qoth’I ini, maka dia adalah kafir secara terang-terangan kerana hukum-hukum ini telah diperintahkan dalam ayat Al-Quran serta Hadis Sohih, dan disepakati Ulama’. Maka sesiapa yang mengingkarinya bermakna mengingkari nas Al-Quran dan As-Sunnah.

Seseorang muslim itu tidak terlepas dari hukum ini kecuali bagi mereka yang masih ‘baru’ dalam Islam, atau jauh daripada pengetahuan mengenai Islam, maka ini dikira sebagai keuzuran sehinggalah golongan ini mempelajari ajaran Islam, maka diwajibkan ke atasnya semua hukum syar’ie sepertimana diwajibkan kepada muslim yang lain.

Dalil: “Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan.” “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” –Surah An-Nuur, ayat 51.

IV) DOSA-DOSA BESAR MENGURANGKAN IMAN TETAPI TIDAK MEMUSNAHKANNYA

Kaedah Keempat: Pembuat maksiat dan pelaku-pelaku dosa besar, jika mereka tidak bertaubat, iman mereka akan berkurangan tetapi tidak musnah atau hilang.

Dalil:

1) Jika pelaku ini dihukum sebagai murtad, maka pastilah maksiat dan murtad telah menjadi suatu perkara yang sama. Maka pastinya pelaku maksiat ini wajib dihukum seperti orang yang murtad namun perkara ini telah ditolak oleh nas-nas sahih dan ijma’.

2) Hadis yang mewajibkan syurga kepada sesiapa yang mengucapkan La Ilaha Illallah walaupun dia seorang penzina atau pencuri: Daripada Abu Zar R.A.H, Rasulullah S.A.W bersabda: “Aku didatangi Jibril dan beliau memberitahuku: “Sesungguhnya sesiapa daripada umatmu yang mati tanpa mensyirikkan Allah dengan apa-apa sahaja maka dia akan memasuki syurga.” Maka aku bertanya: “Walau mereka telah berzina dan mencuri?” Beliau menjawab: “(Ya) Walau mereka telah berzina dan mencuri.” ”

3) Ayat Al-Quran yang menyebut tentang hubungan antara pembunuh dengan keluarga yang dibunuh:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan)mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula)…” –Surah Al-Baqarah, ayat 178.

V) SELAIN SYIRIK, SEMUA DOSA DALAM PERHITUNGAN ALLAH UNTUK DIBERI KEAMPUNAN

Kaedah Kelima: Sesungguhnya dosa yang tidak diampunkan adalah kafir atau syirik dengan Allah S.W.T. Selain daripada itu, samada dosa besar atau kecil, semuanya atas kehendak Allah, jika Dia mengampunkan, maka hamba itu akan diampunkan, jika sebaliknya, maka hamba itu akan disiksa.

Dalil: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

-Surah An-Nisa’, ayat 116.

Syirik yang dimaksudkan dalam ayat ini atau seumpamanya adalah syirkul akbar atau syirik besar, iaitu mengambil tuhan atau tuhan-tuhan lain bersama Allah S.W.T. Sama juga, kufrul akbar atau kufur besar yang bererti ingkar atau menolak. Contohnya Ibn Hajar pernah berkata, sesiapa yang mengingkari kenabian Nabi Muhammad S.A.W, maka dia adalah kafir. Walaupun dia tidak menyekutukan Allah. Maka keampunan tidak akan diberi kepadanya tanpa sebarang khilaf lagi.

VI) PEMBAHAGIAN AL-KUFR YG DITULIS DI DALAM NAS-NAS KEPADA AKBAR&SOGHIR (BESAR&KECIL)

Kaedah Keenam: Al-Kufr (kafir) mempunyai dua makna:

1) Lawan kepada Iman. Iaitu penafian dan keingkaran yang nyata terhadap apa yang didatangkan kepada Nabi S.A.W. Ini dinamakan Al-Kufr Akbar (besar) yang bererti seseorang telah keluar dari agama semasa di dunia maka dia diwajibkan dihumban dalam neraka semasa di akhirat.

Dalil: “Sesudah datang kpd mereka beberapa macam keterangan, akan tetapi mereka berselisih, maka ada di antara mereka yang beriman dan ada (pula) di antara mereka yang kafir.” Al-Baqarah, 253.

2) Lawan kepada sifat bersyukur dengan nikmat Allah. Iaitu merangkumi perbuatan maksiat atau perlakuan yang dilarang Allah S.W.T. Ini dinamakan Al-Kufr Soghir (kecil) bererti si pelaku dosa ini akan menerima ancaman tanpa dihumban dalam neraka, dan pelakunya masih tidak terkeluar dari agama.

Dalil:

“مَن حلف بغير الله فقد كفر أو أشرك” , “من أتى عرافا أو كاهنا فصدقته بما يقوله فقد كفر بما أنزل الله على محمد”

Mengenai hadis ini tiada Ulama’ yang mengatakan sesiapa yang melakukan dosa bersumpah selain nama Allah dan mempercayai tilikan, telah keluar dari agama atau murtad sejak zaman berzaman, maka mereka tidak dipisahkan daripada isteri mereka, tidak ditegah daripada mendirikan solat dan tidak juga ditegah daripada dikebumikan di kubur Islam.

VII) HIMPUNAN SEBAHAGIAN PECAHAN IMAN BERSAMA BAHAGIAN-BAHAGIAN KAFIR , MUNAFIK ATAU JAHILIYAH

Kaedah Ketujuh: Sesungguhnya iman menghimpunkan sebahagian atau lebih daripada bahagian-bahagian kafir, jahiliyah atau nifaq (munafik).

Dalam erti kata lain, di dalam aqidah iman seseorang Islam, di dalamnya mungkin turut ada ciri-ciri daripada sifat ‘al-kufr’ atau jahiliyah serta munafik yang bersemadi di dalam jiwanya secara disedari atau tidak. Kerana itu banyak sumber dari al-Quran dan as-Sunnah yang meriwayatkan bahawa Allah dan Rasulullah S.A.W menyuruh umat Islam agar menjaga iman masing-masing sehingga suci daripada sebarang kekotoran dengan mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Dalil:

“يخرج من النار من كان في قلبه مثقال ذرة من إيمان”

Walaupun begitu, Allah S.W.T sangat mengasihi hambanya kerana daripada hadis ini, dapat kita faham bahawa sesiapa yang mempunyai sesikit-sikit iman akan dikeluarkan daripada api neraka, dan sesiapa yang mempunyai nifaq dalam dirinya, akan diazab dengan setahap mana nifaq itu ada dalam dirinya, kemudian akan dikeluarkan dari neraka.

VIII) PERINGKAT KETAATAN UMAT

Kaedah Kelapan: Peringkat ketaatan setiap muslim adalah berbeza mengikut tahap ketaatan mereka kepada perintah Allah dan penjauhan mereka daripada larangan Allah.

Dalil: “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar. (Bagi mereka) surga Adn, mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera.” Surah Fatir, ayat 32-33.

Di dalam ayat ini Allah S.W.T membahagikan peringkat tadi kepada tiga bahagian iaitu:

1) Menzalimi dirinya – yang mengabaikan kewajipannya dan melakukan perkara yang diharamkan.

2) Pertengahan – yang menunaikan kewajipan dan meninggalkan yang diharamkan tetapi meninggalkan perkara-perkara sunat dan melakukan perkara makruh.

3) Berlumba ke arah kebaikan – yang melakukan kewajipan dan sunat, dan meninggalkan perkara-perkara yang haram dan makruh serta sebahagian yang harus.

Wallahu a’lam bis showab..



Labels